TPTN RIBA ...
“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Rabbnya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 275)
1. Riba merupakan pemerasan dan penindasan yang terkutuk.
2. Riba menghilangkan rasa tolong menolong di antara satu sama lain.
3. Riba menambahkan kemelaratan dan kesusahan ke atas orang-orang susah dan miskin.
4. Riba menanamkan semangat tamak haluba kepada orang-orang yang berada dan kaum-kaum pemodal, sebaliknya menimbulkan semangat kebencian dan hasad dengki di dalam hati orang-orang miskin.
5. Orang-orang yang menjalankan perbuatan riba, di akhirat kelak akan menerima hukuman berat daripada Allah.
PTPTN RIBA !!!
KEBELAKANGAN ini kos pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menjadi isu hangat sebagaimana yang selalu disiarkan dalam Forum Utusan Malaysia.
Secara umumnya, terdapat tiga isu yang ditimbulkan iaitu isu yang membawa kepada gesaan mengurangkan kos pentadbiran; isu yang membawa kepada gesaan menghapuskan kos pentadbiran; dan isu sama ada kos pentadbiran yang dikenakan PTPTN itu riba atau tidak.
Pada pendapat saya, daripada ketiga- tiga isu tersebut, isu berkaitan dengan riba yang paling signifikan dan besar implikasinya.
Sekiranya kos pentadbiran itu bukanlah berbentuk riba, ia tidak menjadi apa- apa masalah. Tetapi kalaulah jelas ia adalah riba, walaupun ia hanyalah empat peratus dan kini telah diturunkan menjadi tiga peratus, ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi membawa kepada implikasi yang cukup membimbangkan.
Pertama, Rasulullah s.a.w. melaknat pemakan, pemberi, saksi dan penulis riba sebagaimana dalam sebuah hadis sahih, Jabir melaporkan bahawa: “Rasulullah s.a.w melaknat orang yang memakan riba, memberi (membayar) riba, kedua- dua saksi dan penulisnya, dan baginda bersabda, golongan ini semuanya adalah sama”. (Muslim).
Kedua dan lebih berat lagi, Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. mengisytiharkan perang kepada sesiapa yang terlibat dengan riba. Ini dirakam di dalam al-Quran yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa-sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggal sisa-sisa riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya memerangimu…” (al-Baqarah, 2: 278-279).
Kalaulah Rasulullah s.a.w. melaknat malah Allah s.w.t. dan baginda s.a.w. mengisytiharkan perang kepada mereka yang terlibat dengan riba, apalah lagi yang tinggal pada mereka yang terlibat itu?
Begitulah juga, kalaulah kos pentadbiran PTPTN itu merupakan riba, apalah lagi yang tinggal pada pelajar kita? Bolehkah generasi yang daripada awal-awal lagi terlibat dengan riba, kemudian memperoleh pekerjaan, menyara diri, menyara keluarga dan sebagainya diberkati dan dirahmati Allah s.w.t?
Bolehkah generasi yang terlibat dengan riba ini mentadbir negara dengan aman damai sedangkan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang kepada mereka?
Inilah yang cukup membimbangkan.
Tetapi apakah kos pentadbiran itu riba sebenarnya?
Ada tiga syarat yang menjadikan sesuatu pinjaman itu berbentuk riba.
Pertama, wujudnya lebihan daripada jumlah pokok pinjaman; kedua, penentuan lebihan ini berkaitan dengan tempoh masa; dan ketiga, persetujuan terhadap syarat lebihan ditentukan terlebih dahulu oleh pemberi pinjaman.
Kaedah perkiraan kos pentadbiran yang dikenakan oleh PTPTN nampaknya memenuhi ketiga-tiga syarat ini. Pertama, tiga peratus kos pentadbiran itu merupakan lebihan daripada jumlah pokok pinjaman. Kedua, ia melibatkan satu tempoh masa. Dan ketiga, pemberi pinjaman, iaitu PTPTNlah yang menentukan lebihan tersebut.
Demi keselamatan generasi dan negara, pihak berkuasa perlulah memandang serius dan meneliti persoalan ini dengan sewajarnya.
Ditulis Oleh – DR. ZAHRI HAMAT,
Pusat Kajian Pengurusan
Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia.
- sekian -
Disediakan oleh :
NUR FARISHA AZYAN BT ZUHAIMI