Wednesday, 4 April 2012

KE MANA HILANGNYA MELAYU?

Ke mana hilangnya Melayu?

Posted on Wednesday, 6 July, 2011
(Diterbit di Sinar Harian, 5 Julai 2011)
Sasterawan Negara Allahyarham Dr Usman Awang atau nama penanya, Tongkat Warrant dalam puisinya bertajuk ‘Melayu’ menulis:
“Orang Melayu itu kaya falsafahnya,
Akar budi bersulamkan daya,
Melayu itu orang yang bijaksana,
Nakalnya bersulam jenaka,
Budi bahasanya tidak terkira,
Kurang ajarnya tetap santun,
Bila mengampu bijak beralas tangan.”
Itulah orang Melayu, dalam marah ada sendanya. Tetapi melihat apa yang berlaku hari ini, adakah sesetengah orang Melayu itu masih boleh digelar kuat agama, kaya adat, penuh tatasusila lagi mulia serta budiman?
Mana hilangnya sifat orang Melayu pemimpin-pemimpin kita yang hanya mementingkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kekalkan kuasa yang ada. Bagaimana kita boleh terus menerima mereka yang telah hilang kemelayuannya dan ciri-cirinya seperti digambarkan oleh Usman dalam sajaknya yang sama:
“Melayu itu berani jika bersalah,
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut,
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat, Jangan mati anak.”
Jika ini menjadi inti pati roh bangsa mana mungkin perbuatan mereka bergelar pemimpin Melayu ini boleh diterima lagi.
Adakah 15 juta orang Melayu berasa bangga dan terus memberikan mandat kepada pemimpin seperti ini yang hanya guna gelaran Melayu untuk kepentingan politik sempit serta perompakan ekonomi rakyat demi kelompok kroni mereka sendiri?
Lihat bagaimana mereka ini menggunakan adegan lucah untuk menyerang maruah orang yang bukan sahaja dituduh, malah dipertontonkan secara terbuka di semua saluran dikuasai – internet, akhbar, televisyen, bahkan juga mahkamah – untuk disaksikan anak-anak kecil dan warga emas yang sepatutnya dipelihara maruah dan rasa hormat. Siapa sebenarnya yang berterusan mencemar nama Melayu?                                     DARIPADA: AZIEMAH

No comments:

Post a Comment