Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.
Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Perkara ini amat serius terutamanya di negara Barat yang telah rosak dalam sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham.
Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibu bapa mereka jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.
Islam mengajar agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai pengorbanan mereka. Perintah ini banyak dimuatkan dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini amat penting.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa…” (al-Ahqaf, 46: 15)
Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadith RasulAllah di bawah wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan ibu bapa.
“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
RasululAllah tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa mereka termasuk dalam golongan muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sebagai contoh mudah, cerita lama si tanggang yang sombong dan mengina ibunya setelah menjadi nahkoda kapal, mendapat balasan dengan ditukar menjadi batu setelah ibunya merintih dan berdoa kepada Allah akan memberi pengajaran kepadanya.
Disediakan oleh : Nur Farisha Azyan bt.Zuhaimi
No comments:
Post a Comment