Tidak ramai mahu menjadikan coklat antara menu penting makanan harian
kerana bimbang pengambilannya boleh menyebabkan kegemukan terutama
dalam kalangan wanita yang mementingkan kecantikan. Walaupun kajian
saintifik membuktikan coklat mempunyai khasiat tersendiri, namun hasil
kajian tersebut belum mampu mengikis tanggapan yang sekian lama
menghantui pemikiran individu. Malah, coklat tetap dikaitkan punca
obesiti.
Hakikatnya, pengambilan coklat khususnya coklat hitam (dark
chocolate) amat penting untuk kesihatan. Hal ini kerana, coklat hitam
mengandungi antioksidan lapan kali lebih tinggi berbanding buah
strawberi. Kajian yang dilakukan juga mendedahkan kandungan flavonoid,
iaitu bahan antioksidan dalam koko, baik untuk kesihatan jantung kerana
mampu melancarkan aliran darah, mengurangkan risiko pembentukan darah
beku dan membaiki tahap kolesterol, selain melindungi kerosakan dan
keradangan sel.
Penyelidik juga mendapati coklat mampu membantu merendahkan tekanan
darah. Menerusi kajian yang dilakukan ke atas pesakit tekanan darah
tinggi yang mengambil kira-kira 100 gram coklat sehari selama dua minggu
menunjukkan penurunan tekanan darah yang ketara, malah kadar kolesterol
buruk juga semakin berkurangan, sekali gus membuktikan makanan manis
itu ada manfaatnya jika diambil secara sederhana.
Ahli sukan, Zawen Anuar berkata, khasiat yang terkandung dalam coklat
hitam berbeza dengan coklat putih kerana coklat putih tiada kandungan
koko atau flavonoid, tetapi masyarakat sekarang lebih gemar memakannya
berbanding coklat hitam.
“Sebenarnya, memakan coklat hitam boleh membantu mengubah mood
seseorang yang tertekan menjadi gembira kerana pengambilannya akan
meningkatkan hormon yang merangsang perasaan ceria.
“Jadi, untuk memulakan sesuatu seperti ingin melakukan senaman,
seelok-eloknya makan coklat gelap terlebih dulu untuk menimbulkan mood
yang baik tetapi elakkan mengambil coklat putih yang mengandungi banyak
susu kerana susu menghalang penyerapan anti oksidan,” katanya ketika
ditemui di KLCC, baru-baru ini. Mengikut sukatan terbaik, coklat hitam sepatutnya mengandungi 70
peratus koko dan 30 peratus susu tetapi rasanya yang sedikit pahit
mungkin menyebabkan coklat itu tidak digemari orang ramai.
Zawen berkata, keistimewaan coklat hitam juga mampu menjadikan kulit
wajah awet muda kerana mengandungi mineral dan vitamin A,C dan E, serta
kemampuannya meningkatkan peredaran darah sehingga ke otak, sekali gus
dapat merangsang ingatan menjadi lebih baik.
Kehadiran radikal bebas boleh mengancam kesihatan dan menjadi
penyebab utama kepada pelbagai masalah kronik. Malah, kehadiran radikal
bebas juga sering menjadi kebimbangan kerana ia dikatakan boleh
mempercepatkan proses penuaan dan meningkatkan risiko penyakit seperti
jantung, strok, kencing manis, artritis dan kanser.
“Jika memakan coklat hitam, coklat tersebut mampu memerangkap radikal
bebas ini kerana di dalamnya terdapat antioksidan iaitu bahan yang
dikenal pasti dapat menghapus atau melemahkan radikal bebas ini,”
katanya
Zawen berkata, diakui coklat mengandungi lemak tetapi lemak ini sihat dan tidak menggemukkan.
“Paling penting, dalam setiap perkara, kita perlu sederhana dan
pengambilan coklat sebagai makanan harian juga perlu dalam kuantiti yang
tidak berlebihan.
“Coklat boleh dijadikan makanan sampingan tanpa mengetepikan makanan
asas seperti sarapan dan makan tengahari untuk mendapatkan tenaga.
Seelok-eloknya, ajar anak-anak memakan coklat hitam ini untuk kesihatan
mereka tetapi jumlahnya perlu terkawal,” katanya.
INFO: Kandungan Coklat
# Polyphenols - Antara kandungan utama dalam coklat yang berfungsi mencegah tengik.
- Menjadi penangkis kepada beberapa penyakit kronik seperti kanser,
sakit jantung, menurunkan tekanan darah dan strok(jika sekadar mengambil
dalam kuantiti diperlukan).
# Theobromine - Sebaik menjamah coklat, individu akan berasa lebih
bertenaga. Mata mengantuk secara automatik akan terbuka dek penangan
bahan theobromine.
- Bagi individu yang diserang batuk, disyorkan mengambil coklat
kerana dikatakan lebih mujarab daripada ubat batuk. Seperti teh yang
digunakan untuk mencuci muka, kini coklat turut dijadikan pupur bagi
menyegarkan kulit wajah.
# Phenylethylamine - Kandungan phenylethylamine memberikan rangsangan
otak yang menghasilkan dopamine. Kesan kehadiran dopamine mencetuskan
perasaan ceria dan tenteram hingga membangkitkan mood romantis. Justeru
coklat sangat sesuai sebagai hadiah paling romantik.
# Antioksidan - Bagi individu yang risau dengan garis penuaan yang mula
timbul di wajah, coklat barangkali boleh membantu. Sifat antioksidan
mampu mencegah proses penuaan yang disebabkan kesan radiasi. Gaya hidup
tidak seimbang dengan pilihan makanan segera yang diambil tanpa had juga
menjadi penyumbang mempercepatkan proses berkenaan.
Disediakan Oleh :
Nur Qistina Aisyah Binti Shaiful Redha
No comments:
Post a Comment