Saturday, 31 March 2012

NAMA LAIN BAGI RASUAH


Dalam dunia hari ini rasuah disebut dalam berbagai sebutan agar ianya tidak nampak sebagai rasuah. Ada yang disebut sebagai sogokan, suapan, tumbuk rusuk, makan suap, wang saku, duit kopi, bawah meja dan sebagainya. Semuanya itu bermaksud rasuah.
Jenayah rasuah adalah satu tegahan agama, baik agama Islam mahupun agama-agama lain. Allah s. w. t. berfirman yang bermaksud:-
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim- hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.
Hadis nabi SAW ada menyatakan :”Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang memberi sogokan dan orang yang menerima sogokan dalam soal hukum menghukum” (HR. Abu Daud & Tirmizi)
Ibnu Mas’ud telah mentafsirkan ayat di atas seperti berikut:
“Sogokan (rasuah) dapat berlaku pada tiap-tiap sesuatu, barangsiapa yang telah memberi sesuatu pemberian dalam sesuatu pembelaan kepada seseorang supaya pembelaan itu dapat mengembalikan yang hak atau dapat menolak kezaliman (aniaya) lantas diterimanya maka pemberian itu dinamakan sogokan juga. Perbuatan sedemikian diharamkan kerana mengandungi beberapa perkara yang diharamkan oleh agama di antaranya :
1) Tidak akan berlaku kebenaran dalam sesebuah masyarakat selagi mana perbuatan sogok menyogok masih dilakukan oleh manusia.
2) Dengan sogok menyogok itu manusia selalu melanggar hukum untuk memenuhi kehendak hawa nafsunya.
3) Dengan sogok menyogok juga manusia dapat membalas dendam antara seorang dengan orang yang lain dan sebagainya.
Dalam Islam rasuah juga bermaksud harta yang diperolehi kerana terselesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari kemudharatan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan (imbuhan).
Adakala orang yang mendapat sesutu projek atau pekerjaan tidak memberi sesuatu dalam bentuk yang boleh dikatakan rasuah dan seumpamanya tetapi selepas mendapat upah dan imbuhan, diberinya sedikit wang atau seumpamanya kepada seseorang pegawai atas dasar penghargaan maka hal ini akan menjadi satu perkara syubhat. Mungkin pemberiannya kerana penghargaan semata-mata dan tidak mengharapkan apa-apa lagi selepas itu. Adakalanya memberi kerana penghargaan tetapi ada niat tersembunyi yang mungkin hanya pemberi dan penerimanya sahaja yang mengetahui.


hanihameera :)

No comments:

Post a Comment