Saturday, 7 April 2012

Umrah Dan Haji

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
,

HAJI

Ibadah Haji mengikut kebiasaan sebutan orang adalah ‘haji besar’ dan ibadah Umrah pula disebut ‘haji kecil’. Musim Haji bermula daripada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah (hari raya puasa hingga hari raya haji), manakala Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk di luar musim haji. Dari segi syarak pula ianya adalah mengunjungi Baitullahil Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang tertentu di sana.
 .

Menunaikan Haji

Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ia dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga 13 Zulhijah. Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijah.
 .
Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, ayat 97)
 .
Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental. Allah membuka ruang dan memudahkan semua hamba-Nya menziarahi, mendekatkan diri dan bermunajat kepada-Nya serta memohon limpah Rahmat-Nya dan Hidayah-Nya. Ibadat haji adalah satu-satunya peluang keemasan untuk kita mengadap Allah secara lebih dekat.
.
Firman Allah dalam surah al-Hajj: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki, atau mengenderai setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari (hari raya haji dan tasyrik) yang telah ditentukan.”
.
Pemergian ke kota Makkah atau Arafah bukan semata-mata perjalanan jasad, tetapi perjalanan ‘rabbani’ iaitu perjalanan berserta ketulusan hati dan rohani ke arah menemui Allah SWT serta mengeratkan jalinan hubungan antara Allah sebagai Khalik (Pencipta) yang menjadikan alam sebagai makhluk-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya.
Firman Allah SWT.: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 196).
.
Haji dan Umrah, kedua-duanya hanya wajib sekali saja seumur hidup dan sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Perbezaan jelas antara kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan dalam bulan haji iaitu mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.
.
Allah menyediakan ganjaran cukup besar bagi sesiapa yang mengerjakan umrah dan haji pada bulan ini. Rasulullah SAW bersabda: “Daripada satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus semua kesalahan serta dosa yang berlaku antara keduanya. Haji yang mabrur (yang dilakukan dengan ikhlas dan sempurna) itu tidak ada ganjarannya yang setimpal melainkan syurga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
.
.

Niat Haji dan Umrah

1.  Niat mengerjakan Haji:

نَوَيْتُ الْحَجَّ وَأَحْرَمْتُ بِهِ لِلَّهِ تَعَاَلَى

Daku mengerjakan Haji dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.
2.  Niat mengerjakan Umrah:

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَاَلَى

Daku mengerjakan Umrah dan berihram dengannya, kerana Allah Ta’ala.
3.  Niat mengerjakan Haji dan Umrah serentak (Haji Qiran):

نَوَيْتُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِـهِمَا لِلَّهِ تَعَاَلَى

Daku mengerjakan Haji dan Umrah serta berihram dengan kedua-duanya, kerana Allah Ta’ala.
.
.

FADILAT HAJI

Antara hadis Rasulullah SAW yang menghuraikan mengenai kelebihan ibadat haji, umrah dan tanah suci Makkah ialah:
  1. Ibadat haji itu dapat menghilangkan dosa sebagaimana air dapat menghilangkan segala daki.
  2. Setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat untuk orang yang mengerjakan haji di Baitullah; 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang bersolat dan 20 rahmat untuk yang memandang kepada Kaabah.
  3. Haji yang mabrur ialah pekerjaan haji yang tidak bercampur dengan dosa sejak ihram hingga Tahalul.
  4. Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan dia tidak merosakkannya dengan sebab bersetubuh dan tidak membuat sebarang maksiat, maka pulangnya kelak seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.
  5. Iringilah hajimu dengan melakukan umrah, kerana kedua-duanya akan menghapuskan kemiskinan dan dosa, laksana relau yang membakar hangus segala kotoran besi, emas dan perak.
  6. Tiadalah ganjaran lain bagi haji yang mabrur melainkan Syurga.
  7. Hujjaj dan Ummar  (Jemaah Haji dan Umrah) semuanya tetamu Allah, jika mereka berdoa kepada-Nya akan diperkenankan, jika mereka pohonkan keampunan akan diampunkan.
  8. Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa antara keduanya. Haji yang mabrur tiadalah lain ganjarannya melainkan syurga.
  9. Sesiapa yang sabar menanggung sakit sehari di Makkah, maka Allah tulis pahala amal soleh yang dikerjakan olehnya di luar Makkah sebanyak 60 tahun.
  10. Sesiapa yang bersabar menanggung satu saat panas siang hari di Makkah, Allah akan menjauhkan dia 100 tahun lamanya di neraka Jahanam.
  11. Sesiapa yang meninggal dalam pelayaran ke Tanah Suci Makkah sama ada waktu pergi atau balik, segala dosanya tidak akan dipamerkan dan tidak akan dikira pada hari kiamat (diampunkan).
  12. Siapa yang meninggal di Makkah seolah-olah dia telah meninggal di langit dunia.
  13. Baitullah ini adalah tunjang Islam, siapa yang keluar kerana mengunjunginya untuk mengerjakan haji atau umrah, dia dijamin Allah, jika dia meninggal ia akan dimasukkan ke syurga-Nya, jika dia pulang, pulang dengan ganjaran dan harta.
  14. Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk ibadat haji adalah seperti perbelanjaan untuk fisabilillah, satu dirham digandakan dengan 700 X.
  15. Satu dari tanda-tanda haji yang diterima ialah; Apabila ia melakukan kebaikan dan amalan melebihi dari sebelum pemergian ke Makkah dan tidak lagi terdorong ke arah perkara-perkara maksiat.
.
.
.
.

SYARAT WAJIB SAH HAJI

Haji diwajibkan sekali sahaja seumur hidup, apabila memenuhi syarat:
  1. Islam
  2. Baligh dan berakal (Mukallaf).
  3. Merdeka
  4. Berkemampuan dan berkuasa.
  5. Wanita mesti mendapat izin suami atau wali, dan ditemani oleh suami, mahram atau wanita yang dipercayai.
 .
 .

RUKUN HAJI

1.  Niat ihram
2.  Berwukuf di Arafah.
3.  Tawaf  Ifadah.
4.  Saie di antara Shafa dan Marwah.
5.  Bercukur atau bergunting rambut (Tahalul).
6.  Tertib pada kebanyakan rukun.
Jika tertinggal salah satu rukun atau tidak mengikut syaratnya maka Haji / Umrahnya TIDAK SAH (BATAL) dan terpaksa mengqadakannya semula dengan segera kerana masih di dalam ihram (pantang larang).
.
.

BATAL HAJI

  1. Tidak melakukan semua rukun haji dengan sempurna mengikut syarat-syaratnya.
  2. Tidak melakukan dan hadir sendiri di tempat ibadat dan dalam masa yang ditetapkan, walaupun boleh dengan bantuan orang lain.
  3. Melakukan persetubuhan semasa ihram kecuali sesudah tahallul awal.
  4. Hilang akal atau pengsan sepanjang menunaikan haji.
  5. Membatalkan niat ibadat oleh sesuatu keadaan.
  6. Murtad.
.
.

SYARAT WAJIB MENGERJAKAN HAJI

  1. Niat ihram di Miqat.
  2. Menjaga larangan dalam ihram.
  3. Bermalam di Mudzalifah.
  4. Melontar Jamrah Al-Aqabah.
  5. Bermalam di Mina.
  6. Melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq.
Sekiranya tertinggal salah satu daripadanya HAJI / UMRAHNYA SAH tetapi diwajibkan dam
.

.
.

HIKMAH HAJI

  1. Menghapuskan dosa dan membersihkan jiwa.
  2. Mendapat keampunan dan ganjaran daripada Allah.
  3. Meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
  4. Memahami dan mengayati sejarah kecemerlangan Islam dengan mendalam.
  5. Melahirkan rasa syukur atas nikmat harta dan kesihatan yang diberikan Allah.
  6. Menimbulkan rasa keinsafan di dalam hati kerana ketika mengerjakan haji, kerana semua hamba Allah itu sama saja keadaannya dan tanggungan beban sama ada yang kaya, miskin, raja atau rakyat biasa.
DISEDIAKAN OLEH:NUR FADHLIN SOFIYA BT AZMI

Kehebatan Rasulullah Di Akui Orientalis Barat

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.
Antara tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu.
.
Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai penghayatan.
.
Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya,
“Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma. Apabila berkhutbah, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berdiri berdekatan salah satu pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam.” (Riwayat Bukhari)
.
Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berpindah ke mimbar yang baru dibina itu adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi, berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana Baginda pembawa rahmat.
.
Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan kenabian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, ‘Wahai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.’
.
Lantas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam segera menjawab,
“Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu. Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk melaksanakannya.”  (Riwayat Ahmad)
.
Di sini, ada beberapa aspek yang diajarkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada kita semua. Satu, kita tidak boleh menyembah atau sujud selain daripada Allah SWT. Keduanya ialah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada juga menyelitkan unsur pengajaran kepada kaum wanita supaya taat dan patuh kepada suami. Dua aspek itu digabung dan inilah kelebihan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila mendidik sahabat.
.
Selain itu, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui dialognya dengan sahabat ada menekankan perkara habbluminnas (hubungan semasa insan). Baginda meminta kita agar bersikap memuliakan saudara seagama kita. Tetapi seandainya kita secara jujur meneropong situasi semasa yang terjadi dalam kalangan mukmin, maka bertanyalah kita, apakah suruhan Baginda itu kita patuhi ?
.
Yang banyak berlaku ialah saling menghina, dengki-mendengki, fitnah-memfitnah dan seribu satu macam perangai mazmumah (keji) yang dilakukan. Sepatutnya kita sentiasa ingat akan apa yang Allah SWT pesan;

 مَّا أَفَاءَ اللَّـهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٧

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Hasyr ayat 7)
.
Sebenarnya, keunggulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terus menerus mencatat reputasi terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Jika sebelum ini, kita hayati sendiri bagaimana haiwan dan pokok pun hormat dan cintakan Baginda dan hal seperti itu adalah mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Baginda sebagai bukti kerasulannya. Malah dalam kalangan bukan Islam di dunia Barat pun turut memperakui kehebatan Baginda.
.
Misalnya, tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonaparte. Dia walaupun bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya tabik kepada manusia agung ini. Saya tabik hormat kerana keagungan akal dan hatinya.”
.
Tentu sekali pandangan peribadi Napoleon itu jarang kita temui, kerana laporan benar dan jujur mengenai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa saja ‘terlipat dan tersembunyi’. Malah jika boleh, luahan jujur orang-rang Barat yang bukan Islam mengenai kehebatan Nabi kita akan cuba disorok sedalam-dalam agar tidak kelihatan.
.
Baiklah, kita ambil satu lagi pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, Muhammad tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Illahi.”
.
Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun.
.
Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di puncak tinta kajian mereka.
.
Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama Nabi kita pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi.
.
Inilah semua menjadi bahan bukti yang mempamerkan kepada kita Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sejak zaman hayat Baginda begitu dimuliakan, dihormati, dirindu dan dicintai sahabat, kaum muslim malah segala makhluk di muka bumi ini turut merasainya.
Oleh demikian, marilah kita mempertajamkan rasa cinta terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan hanya sekadar berselawat saja, tetapi mengikuti setiap apa sunnah Baginda agar kehidupan dunia menjadi sejahtera dan akhirat dilimpahi bahagia.
.
.

والله أعلم بالصواب

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
DISEDIAKAN OLEH:SITI NURHAYATI BT JAMALUDIN

Doa


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Doa bermaksud permohonan kepada Allah agar diperkenankan sesuatu hajat yang diminta atau menolak sesuatu musibah yang mungkin akan menimpa diri. Doa hanya boleh dipohon kepada Allah kerana Dialah yang Maha Agung, Maha Mengetahui dan Maha Memperkenankan.
.
Mengikut istilah syarie, ‘doa’ bermaksud; Pernyataan dan permohonan kehendak (hajat) kebaikan atau kebajikan duniawi atau ukhrawi seseorang hamba  kepada Allah Taala dan menyerahkan diri kepada kekuasaan (haul) dan kekuatan (quwwah) Allah Ta’ala.
.
Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Aku mengikuti sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Dan Aku selalu menyertainya sepanjang ia ingat kepada-Ku.”  . Bukh  (H.Rari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah pernah bersabda: “Tiadalah yang lebih dihargai oleh Allah selain daripada doa.”
.
Berdoa adalah ibadat pengabadian diri. Setiap kali kita melakukan solat dan membaca Al-Fatihah terdapat maksudnya: “Hanya Dikau yang kami sembah (abdikan diri), dan hanya kepada Dikau kami mohon pertolongan.”  Surah al-Fatihah, ayat 5.
Sabda Rasulullah SAW: “Doa itu adalah otaknya ibadat.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari).
.
Doa dipohon sebagai tanda menginsafi dan menyedari diri manusia sangat lemah dan tidak mampu untuk menunaikan segala keperluan hidup. Firman Allah SWT: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”   (Surah al-Baqarah, ayat 186).
.
Berdoa hendaklah memperlihatkan permohonan yang sangat menghibakan dengan menyebut sesering mungkin, nama-nama Allah yang baik (Al-Asma’ Al-Husna) dan sifat-sifat Allah yang agung dan mulia, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raaf: 180: “Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma-ul husna itu.” yang sangat diharapkan dengan melakukan hal tersebut, terkabulnya doa yang dipanjatkan.
.
Allah tidak membiarkan hamba-Nya yang memohon sesuatu dengan sepenuh hati pada keheningan malam dalam keadaan hampa. Sebagaimana firman-Nya; “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Daku perkenankan permohonanmu itu.”  (Mu’min: 60).
.
.
TUJUAN BERDOA
Tujuan orang mukmin memohon doa kepada Allah SWT adalah untuk:
  1. Mendapatkan rahmat dan rezeki daripada Allah ‘Azza wa Jalla.
  2. Memastikan permintaan yang dihajati itu mendapat restu dari-Nya.
  3. Mendekatkan diri kepada Illahi dengan menginsafi bahawa dirinya adalah ciptaan Allah Yang Maha Khaliq.
.
.
SYARAT DOA
Syarat-syarat berdoa bagi memastikan permohonannya diterima oleh Allah SWT adalah:
  1. Berdoa perlu penuh dengan keyakinan dan harapan.
  2. Doa mesti disertai dengan konsentrasi dan hati khusyuk.
  3. Gunakan bahasa yang mudah dan suara lunak.
  4. Berasa rendah dan hina diri, serta hadir di hati.
  5. Tidak berdoa untuk perkara maksiat.
  6. Tidak berdoa memutuskan silaturahim.
  7. Jangan berdoa untuk perkara-perkara mustahil atau ditegah.
  8. Jangan berdoa untuk keburukan diri sendiri atau orang lain.
  9. Yakin doa itu didengar dan diperkenankan.
  10. Doa hendaklah disertakan dengan kesabaran.
  11. Tidak gopoh. Jangan mengharap pengmakbulan serta-merta.
  12. Tidak menyalahkan Allah atau orang lain sekiranya doa masih tidak terkabul atau lambat dikabulkan.
.
DIPERKENANKAN DOA
Jangan cepat salahkan Allah jika doa tidak termakbul. Doa-doa atau ayat al-Quran yang dibaca bukanlah faktor utama kesembuhan atau kemakbulan doa, ia hanya merupakan kaedah-kaedah sebagai ikhtiar dengan tujuan untuk mendapatkan kemakbulan daripada Allah.
Sekiranya doa tersebut dikabulkan Allah dengan kadar segera, maka kita hendaklah bersyukur. Sebaliknya, hendaklah bersabar sekiranya doa yang dipohon lambat dikabulkan atau tidak dikabulkan sama sekali kerana Allah Maha Mengetahui rahsia terhadap qadak dan qadar ketentuan-Nya.
Doa yang dipohon ada kalanya diperkenankan ketika seseorang itu masih hidup dan ada doa yang diperkenankan, tetapi ditangguhkan di akhirat kelak.
.
Allah memperkenankan doa dalam tiga bentuk:
1.     Diperkenankan doa itu ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja yang dihajatkan.
2.     Doanya diperkenankan, tetapi hajat itu disimpan dan akan diberikan pada hari akhirat.
3.     Doa diperkenankan, tetapi bukan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan daripada keburukan dan bala bencana.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seseorang yang berdoa dengan sesuatu doa melainkan dikabulkan baginya, sama ada disegerakan baginya di dunia, dan ada kalanya ditangguhkan baginya di akhirat, dan ada kalanya baginya akan dihapus dosa-dosanya dengan kadar apa yang dia berdoa, selagi dia tidak berdoa dengan sesuatu dosa atau memutus hubungan keluarga atau tergesa-gesa seraya mengatakan: Aku berdoa wahai Tuhanku, maka bagaimana Dikau tidak mengabulkan kepadaku.”   (HR Ahmad dan Hakim)
.
.
HIKMAH BERDOA
  1. Beristiqamah dalam berdoa dapat membentuk peribadi mulia.
  2. Doa akan diterima jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka ini akan membentuk sifat sabar, jujur dan ikhlas hati.
  3. Sebaik-baik hamba itu ialah mereka yang sentiasa melakukan sesuatu amalan terus-menerus, sentiasa ingat kepada Allah ketika senang dan susah, bukan hanya ketika susah dan melupakan-Nya ketika senang.
 DISEDIAKAN OLEH:SITI NURHAYATI BT JAMALUDIN

Friday, 6 April 2012

Cerita Di Sebalik Ekor Serban

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.
Diriwayatkan di dalam sebuah hadis yang dinukilkan dari pendapat Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi r.a. bahawa suatu ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terlambat menunaikan Solat Subuh sehingga mentari hampir terbit. Lalu Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersegera keluar untuk menunaikan Solat Subuh.
.
Selesai bersolat, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada para sahabat r.a dengan maksudnya: “Duduk dulu di tempat masing-masing, adakah kamu mengetahui apa sebabnya aku terlambat pada hari ini?”
.
Malam tadi aku bangun bersolat mengikut apa yang dikehendaki Allah SWT,  kemudian aku merasa mengantuk lalu tertidur dan bermimpi melihat Allah Azza Wajalla Yang Maha Mulia dalam keadaan yang amat indah yang tak dapat digambarkan.
.
Allah berkata kepadaku: “Wahai Muhammad, adakah engkau mengetahui dalam perkara apa para malaikat diistimewakan?”
Aku menjawab: “Engkau saja yang mengetahuinya wahai Tuhanku (Aku ucapkan tiga kali).”
.
Lalu Allah SWT meletakkan tangan kuasaNya yakni (rahmat) di antara kedua bahuku sehingga aku merasakan kesejukan di atas dadaku. Ia pun melimpahkan ilmu orang-orang terdahulu dan yang terkemudian kepadaku. Dengan sebab itu aku pun mengetahui apa yang di antara langit dan bumi serta mengenali setiap sesuatu.
.
Selepas itu Allah SWT bertanya: “Adakah engkau mengetahui dalam perkara apa para Malaikat berbantah-bantah?”
Aku menjawab: “Ya, aku tahu.”
Allah SWT bertanya: “Dalam perkara apa dia?”
Aku menjawab: “Dalam perkara yang boleh menghapuskan kesalahan (dosa) dan dalam perkara yang boleh menambah amalan.”
Allah SWT bertanya: “Dalam perkara yang boleh menghapuskan kesalahan (dosa) apa dia?”
Aku menjawab: “Membasuh anggota wuduk lebih hadnya di waktu musim sejuk di pagi hari bagi mengerjakan solat Subuh, melangkah kaki untuk menunaikan solat berjemaah dan menanti solat fardhu.”
Allah SWT bertanya: “Apa pula yang boleh menambah amalan.”
Aku menjawab: “Menyedekahkan makanan, saling mengucapkan salam, solat di tengah malam ketika manusia sedang tidur dan sesiapa yang memeliharanya, ia akan hidup dengan baik, mati dengan baik dan keluar dari dosanya sebagaimana halnya pada hari ia dilahirkan ibunya.”
Allah SWT berkata: “Wahai Muhammad ! engkau telah Berjaya, maka berdoalah.”
Aku berkata: “Wahai Tuhanku ajarilah aku.”
Allah SWT berkata: “Apabila engkau selesai solat, katakanlah: “Ya Allah, aku bermohon kepadaMu untuk melakukan segala kebajikan, untuk meninggalkan segala kemungkaran, untuk mengasihani orang-orang miskin, supaya Engkau mengampuniku, mengasihiku dan memberi taubat kepadaku, Apabila Engkau berkehendak memberi fitnah kepada satu-satu kaum, maka genggamlah aku supaya tidak mendapat fitnah. Aku bermohon kepadaMu cinta kasih untuk menyintaiMu, dan menyintai amal yang boleh menghampirkanku kepada menyintaiMu. Dan jadikanlah aku menyintaiMu lebih dari kesukaan (harapan) kepada air.”
.
Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada kalangan orang yang mendengar syarahannya di masjid; “Kamu pelajarilah kalimat-kalimat ini dan kamu ajarkanlah, kerana ia adalah suatu kewajipan yang diperintah oleh Allah SWT.”  (Menurut Imam Muhammad bin Said al-Bukhari; martabat hadis ini ialah sahih)
.
Oleh kerana itulah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meletakkan ekor serbannya di antara kedua bahu sebagai merakam mimpi berkenaan dan untuk dijadikan peringatan terhadap apa yang diterima Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam ketika bermimpi. Maka Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam meletakkan ekor serbannya di tempat Allah SWT meletakkan tangan kuasa yakni (rahmat) di bahu belakangnya.
.
Justeru, amalan sunnah (fadhoilul ‘amal) ini seterusnya diamalkan pula oleh ulama’-ulama’ dahulu kini dan Insya’Allah selama-lamanya.
.
Selamat beramal dan meneruskan kesinambungan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam!
.
.

والله أعلم بالصواب

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
Artikel Berkaitan:
1.  Pelindung Kepala Rasulullah SAW  
2.  Al-Jarir & Serban Rasulullah SAW
DISEDIAKAN OLEH :SITI NUR HAYATI BT JAMALUDIN

Bagaimana Yahudi Menyihir Rasulullah SAW

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.
Peristiwa Yahudi menyihir Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam dan turunnya kedua surah serentak (Surah Al-Falaq dan An-Nas) tatkala Rasulullah SAW balik dari Hudaibiah dalam bulan Zulhijjah tahun tujuh hijriah.
.
Setelah selesai perang Khaibar maka datanglah ketua-ketua Yahudi bertemu seorang tukang sihir Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq, bertujuan untuk melakukan sihir ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan kerjasama daripada seorang budak Yahudi yang juga khadam nabi, mereka telah mencuri sikat rambut Nabi beserta rambut yang terdapat pada gigi sikatnya.
.
Bersama bahan-bahan tersebut dibuat patung berupa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada lilin, lalu ditikam dengan sebelas bilah jarum dan disimpul dengan sebelas ikatan. Maka di takdirkan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pun terkena sihir selama 40 hari. Pada suatu hari ketika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidur maka datanglah dua malaikat, seorang di kepala dan seorang di kaki.
.
Disebut dalam banyak hadis sahih, seperti riwayat daripada Ibnu Abbas, Ibnu Abbas r.a., Ibnu Majjah, Muslim, An-Nasai r.a. dll.
.
Daripada Syaidatina Aisyah r.ha. menceritakan, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengalami sakit tenat, sehingga Baginda berasa tidak keruan dan mengigau kerananya. Perkara yang telah dilakukan, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam merasa ragu-ragu samada sudah dilakukan atau tidak dan Baginda merasakan telah melakukan sesuatu yang sesungguhnya tidak dilakukannya. Kerana itu pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah berdoa, kemudian berdoa dan berdoa lagi. Lalu datang dua malaikat berupa dua orang laki-laki menemui Nabi  Sallallahu Alaihi Wasallam ketika Baginda sedang tidur. Salah seorangnya duduk di sebelah kepala manakala yang seorang lagi di sebelah kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
.
Malaikat yang berada di sebelah kaki bertanya kepada malaikat yang berada di sebelah kepala Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam: “Apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini?
Malaikat yang di kepala: Thabb.
Malaikat yang di kaki: Apakah Thabb itu?
Malaikat yang di kepala: “Sihir.”
Malaikat yang di kaki: Siapakah yang menyihirnya?
Malaikat yang di kepala: Lubaid Al A’sham, orang Yahudi.”
Malaikat yang di kaki: Dengan apa disihirnya?
Malaikat yang di kepala: Sikat dan rambut yang gugur beserta mayang kurma kering.
Malaikat yang di kaki: “Di manakah sihir itu diletakkan?”
Malaikat yang di kepala: “Dalam bungkusan daun tamar di bawah batu besar dalam telaga keluarga Zarwan.”
Malaikat yang di kaki: Dengan apakah kita akan merawat dan memulihkan Muhammad ini?
.
Maka yang seorang lagi membacakan beberapa ayat dari al-Quran, iaitu Surah ‘Mu’awwidataini’ (Surah Al-Falaq & Surah An-Nas).
.
.
.
Nabi Muhammad  Sallallahu Alaihi Wasallam kemudiannya terjaga dari tidur, lalu mengutus Saidina Ali, Saidina Zubir dan Ammar ibnu Yasir pergi ke telaga tersebut. Sesampainya di sana, mereka melihat air telaga itu seperti rendaman daun inai… kemerah-merahan darah warnanya, manakala pokok kurmanya kelihatan bagaikan kepala-kepala syaitan. Mereka menimba airnya dan mengangkat seketul batu besar, kemudian menemui ‘bungkusan berikat’ tersebut lalu mereka mengambil dan mengeluarkannya dari telaga itu, seterusnya bungkusan berikat itu disampaikan pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
.
Pada bungkusan tersebut terdapat sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum. Kemudian Rasulullah membaca ‘Surah Mu’awwidataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada Baginda dalam mimpi semalam. Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut (Surah Al-Falaq & Surah An-Nas), terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdir-Nya, Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas dari belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh Baginda yang kemudiannya beransur hilang.
.
Anas ibnu Malik ra menceritakan, “Bahawa ada seorang Yahudi berbuat sesuatu terhadap Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka kerana hal tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengalami sakit tenat, ketika para sahabat datang menjenguknya, mereka menyangka, bahawa hal itu hanyalah disebabkan sakit biasa. Kemudian datanglah malaikat Jibril dengan membawa turun kedua-dua surah ini; malaikat Jibril akan mengubatinya dengan membacakan kedua surah itu. Lalu Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam. keluar menemui para sahabatnya dalam keadaan sihat dan segar-bugar.”
.
Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak membakarnya?” Baginda menjawab: “Tidak. Adapun aku, maka Allah sudah menyembuhkan aku, dan aku tidak suka kalau aku membuat keburukan kepada manusia.” Lalu Baginda memerintahkan agar dipendam barangan sihir itu.” (Hadis Riwaat Ibnu Majjah r.a.)
.
Dalam hadis lain: “Bahawasanya, Allah SWT telah menyembuhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
.
Ketika hal itu disampaikan kepada si Yahudi tersebut, maka dia tidak lagi berani sama sekali menunjukkan mukanya pada Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam.
.
.

والله أعلم بالصواب

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
DISEDIAKAN OLEH :NUR FADHLIN SOFIYABT AZMI

Nama 25 Rasul Islam dalam Yahudi dan Kristian


.
Nama nama para rasul berbeza mengikut zaman dan ajaran serta bahasa yang digunakan masyarakat pada ketika itu. Banyak artikel mengenai sejarah para nabi dan bangsa silam gemar menggunakan nama-nama yang dikenali oleh bangsa Kristian dan Yahudi. Berikut adalah  senarai nama-nama Rasul yang wajib kita percaya sebagai ummat Islam…
.
    1. Adam = Adam
    2. Idris = Enoch
    3. Nuh = Noah
    4. Hud = Eber
    5. Saleh = Shelah
    6. Ibrahim = Abraham
    7. Lut = Lot
    8. Ismail = Ishmael
    9. Ishak = Isaac
    10. Yaakub = Jacob
    11. Yusuf = Joseph
    12. Ayub = Job
    13. Syuaib  = Jethro
    14. Musa = Moses
    15. Harun = Aaron
    16. Daud = David
    17. Sulaiman = Solomon
    18. Ilyas = Elijah
    19. Ilyasa‘ = Elisha
    20. Yunus = Jonas
    21. Zulkifli = Ezekiel
    22. Zakaria = Zechariah
    23. Yahya = John the Baptist
    24. Isa = Jesus
    25. Muhammad
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
DISEDIAKAN OLEH:SITI NURHAYATI BT JAMALUDIN

Fadhilat Dan Khasiat Surah Al-Mulk


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Surah Al Mulk (bahasa Arab:الملك ) adalah surah ke 67 dalam Al-Qur’an. Surah ini tergolong surah ‘makkiyah’ yang terdiri daripada 30 ayat. Dinamakan Al Mulk kerana kata Al Mulk yang terdapat pada ayat pertama surah ini. yang bererti ‘Kerajaan’. Surat ini disebut juga dengan ‘At Tabaarak’ yang bererti Maha Suci.
Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia akan menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya. 

Surah Mulk hendaklah dibaca secara istiqamah dengan menjadikan membacanya amalan kehidupan seharian. Ulama berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
 .
.

Kandungan Surah Al Mulk

Secara umumnya, surah ini banyak mengisahkan tentang kekuasaan Allah terhadap makhluk ciptaan-Nya. Ini jelas digambarkan daripada tajuk surah ini, al-Mulk, yang bermaksud ‘kerajaan’. Pada awal surah, ayat ini diceritakan kesempurnaan ciptaan alam ini, yang tidak ada cacat-celanya.
 .
Allah telah menciptakan alam ini daripada awal yang tiada apa-apa kepada yang ada dan seterusnya menjaga alam ini dengan penuh kesempurnaan. Allah berkuasa menciptakan dan mematikan sesuatu menurut kehendak-Nya.
 .
Beberapa ayat yang seterusnya mengisahkan azab di neraka, di mana setiap kali sekumpulan manusia di campakkan ke dalam api neraka, malaikat penjaga bertanya, “Apakah belum pernah datang orang yang memberi peringatan kepada kamu?”. “Ya, tetapi kami mendustakannya”. Begitulah respons mereka.
 .
Cuba kita lihat dalam kehidupan seharian kita. Adakah kita sering menolak ajakan untuk membuat kebaikan? Jika ya, cuba check iman, mudah-mudahan kita tidak termasuk ke dalam golongan yang akan menyesal di akhirat kelak.
 .
Dan secara ringkasnya, ayat-ayat yang berikutnya berkisarkan kuasa Allah yang mengetahui perkara yang disembunyikan, berkuasa menciptakan burung yang terbang di angkasa, dan yang berkuasa memberi dan menahan rezeki kita. Allah amatlah murka terhadap mereka yang mendustakannya, walhal telah jelas bukti kewujudan dan kekuasaaan-Nya.
 .
Surah ini ditutup dengan suatu pernyataan yang harus kita renungi bersama : “Katakanlah (Muhammad), Terangkanlah kepadaku, jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?”
 .
.

.
.

Kelebihan Surah Al Mulk

Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur. Kelebihan juga dinyatakan pada malam hari. Seseorang yang membacanya pada malam hari telah melakukan banyak ibadah dan telah melakukan satu amalan yang baik.
“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
Di antara kelebihan Surah ini ialah:
1. Surah ini akan menjadi penyelamat.
2. Penegah pembacanya dari seksa kubur.
3. Berada di bawah naungan sayap malaikat (mendapat rahmat Allah).
4. Di hari kiamat rupanya akan dicerahkan seperti wajah Nabi Yusuf (cantik).
5. Dinamakan Surah gagah perkasa, pintar lagi cerdik.
 .
.

Fadhilat Dari Hadis

Terdapat banyak hadis tentang fadhilat yang terkandung dalam Surah Al Mulk, iaitu:
.
1. Mendapat Syafaat
  • Daripada Abu Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam al_Quran ada 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu surah al-Mulk.”
  • Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun untuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.” 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.” 
  • Ulama berkata: ”Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan Tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.”
 .
.
2.  Menyelamatkan daripada seksa kubur
Di dalam kubur orang yang telah mati para malaikat azab datang pada sisi kakinya untuk memberi  hukuman.  Kakinya berkata; “kamu tidak dapat hampir dari sisi kakiku kerana orang ini pernah berdiri dalam solat dan membaca Surah Al-Mulk”. Kemudian mereka datang dari sisi dada (hati) dan perut, dan mereka juga terhalang. Kemudian mereka datang dari sisi kepala.
Pendekata, setiap sendi berkata; “kamu tidak dapat datang dari arah ini kerana orang ini selalu membaca Surah Al-Mulk”. Maka, Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur.
.
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.” 
  • Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.” 
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai penganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir”. 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.” 
  • Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Sesiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.”
  • Daripada Ibnu Abbas r.a berkata, seorang sahabat Rasulullah SAW telah mendirikan khemah di atas kubur dan beliau tidak tahu ianya kubur. Maka di dalamnya terdengar suara bacaan surah al-Mulk sehingga khatam maka beliau menemui baginda SAW dan berkata : “Wahai Rasulullah SAW, saya dirikan satu khemah di atas satu kubur dan saya tidak tahu bahawa ianya kuburdan saya terdengar seorang manusia sedang membaca surah al-Mulk sehingga khatam. ” Nabi SAW bersabda; “Itulah yang menahan dan menyelamatkan dia daripada siksa kubur.”  (HR At-Tarmizi)
 .
 .
3. Hati Beriman
  • Rasulullah SAW bersabda: “Hatiku ingin supaya Surah Al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.” (iaitu setiap muslim hendaklah mempelajarinya dan membacanya dengan istiqamah).
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
 .
 .
4.  Mendapat Keistimewaan
  • Saiyidina ‘Ali berkata: ”Sesiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.” 
  • Ulama berkata“Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Sesiapa mengamalkannya, nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.” 
.
.

Khasiat Ayat Dari Surah Al-Mulk

Ayat dari Surah Al Mulk juga mempunyai khasiat dan keistimewaan yang lain. Diantaranya:
 .
1.  Khasiat Ayat 14 Surah Al-Mulk

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ‌ ﴿١٤

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!
1. Dipandang hebat dan berwibawa.
2. Boleh mengetahui apakah kelebihan diri sendiri.
3..Dapat merasai apabila ajal telah hampir tiba.
4. Jika diamalkan menjadi wirid, zikir harian boleh meluaskan rezeki dan menghilangkan fakir.
5. Dibaca 2,012 kali untuk menolak bala yang besar.
6. Jauh dari seksa kubur jika dibaca ayat 14 dan 15 surah Al Mulk.
7. Jika berhajat hendak melihat orang yang melakukan jahat, pencuri, sihir, memfitnah, orang yang sudah meninggal dalam kubur dan perkara yang penting dalam peperiksaan lakukan:
a. Solat hajat.
b. Baca ayat di atas 9 kali dan diniatkan.
c. Tidur dalam keadaan berwudhu dan berdoa (apa niat kita) dan tidur mengiring dengan lembung kanan.
.
.

2.  Khasiat Ayat 23 Surah Al-Mulk

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ‌ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُ‌ونَ ﴿٢٣

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.
.
- Jika diamalkan ayat ini, iaitu dibacakan pada gigi yang sakit. InsyaAllah, akan berkurangan dan sembuh sakit giginya.
.
.
Terdapat banyak keistimewaan daripada tiga puluh ayat Surah Al – Mulk tersebut. Ia akan terus mensyafaati bagi orang yang membacanya dengan istiqamah hingga ia diampunkan.
DISEDIAKAN OLEH:SITI NURHAYATIBT JAMALUDIN

Thursday, 5 April 2012

WELCOME TO MY BLOG ^_^

Kesan Dan Keburukan Minum Air Berkarbonat

"Satu gelas minuman berkarbonat setiap hari boleh meningkatkan risiko serangan jantung," menurut sekumpulan penyelidik dari Universiti Harvard.

 

Kajian yang dilakukan ke atas lebih 40,000 lelaki menunjukkan, minuman yang penuh dengan kandungan gula itu meningkatkan risiko serangan jantung sehingga 20 peratus, termasuk boleh menyebabkan kematian. 

Ketua penyelidik Dr. Lawrence de Koning berkata, tubuh akan bertindak mengimbangi pengambilan gula berlebihan dengan menghasilkan lemak simpanan dan sesetengah daripadanya tidak baik untuk jantung.
Menurutnya, ujian dalam sampel darah menunjukkan mereka yang mengambil minuman bergula berpotensi memiliki lemak dan protein yang tinggi dalam darah, yang dikaitkan dengan serangan jantung.
Keadaan ini menyebabkan paras kolestrol baik pula menjadi rendah.Kajian itu juga menunjukkan lebih banyak minuman manis yang diambil seseorang, termasuk jus buah-buahan diawet yang ditambah gula ketika dihasilkan, ia boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan faktor lain seperti amalan merokok, obesiti, pengambilan alkohol dan juga gaya hidup yang tidak aktif.


Pasukan penyelidik membuat kesimpulan tersebut selepas menganalisis maklumat yang disediakan oleh responden melalui soal jawab khas setiap dua tahun, antara 1986 dan 2008.
Dr, de Koning bagaimanapun berkata, kajiannya tidak melibatkan pengambilan minuman diet berkarbonat.”Air masak, kopi dan teh tanpa gula adalah pilihan terbaik selain susu rendah lemak. Namun, tidak pasti pula sama ada jus buah adalah pengganti terbaik kerana kami tidak melakukan ujian mengenainya,” tambahnya.


Disediakan Oleh:

Nur Qistina Aisyah Binti Shaiful Redha